Saturday, March 6, 2010

LIPUTAN GAMPANG

Seluruh pelusuk alam berhimpun lagi, suasana kontang menjadi semakin kontang,yang berbahang semakin berbahang, yang berhaba meluap panas semakin merimaskan kepala si guru cabuk. Ibarat sarang lebah yang padat dengan jelatanya, begitulah aku si guru cabuk di hurung.
Bukan lalat bukan jua langau, tapi si bedebah dan si tegar yang mengerumun jasad aku. Tidak ku punya jajan manis lagi enak, tidak aku wangi semerbak kerana peluh yang suam sentiasa menyejat untuk mendingin roma yang meningkat habanya, tidak juga aku dalam keadaan cemas yang membutuhkan khalayak untuk meringankan lelah.
“kenapa cikgu suka telefonlah?” tanya si tegar kepada ku. Terkebil matanya menunggu jawabku
“ saja, hobi cikgu ni, cikgu tengah isi masa lapang ni.” Jawapan pantas lagi selamba keluar dari mulutku.
Si tegar dan si bedebah yang ramai masih tertanya, barangkali jawapanku tidak masuk akal. Mungkin juga mereka teringat pesan pedoman guru mereka agar mengisi masa lapang dengan kelakuan yang bermanfaat. Pilih hobi yang membuka benak kepala. Membaca buku, mengumpul setem, dan membuat nota pelajaran.
Terasa dalam hati aku untuk menjernihkan kekusutan minda si tegar dan si bedebah. Ku buka pertanyaan kepada mereka.
“kamu semua tahu apa hobi cikgu dahulu masa cikgu seusia kamu?” kerdipan mata kembali terkebil.
“ Dulu cikgu suka baca buku sains, ensiklopedia, mak cikgu ada beli ensiklopedia yang banyak...cikgu suka tengok bumi yang bulat ni, jadi untuk nak tau lebih banyak tempat, cikgu suka tengok atlas. Dalam atlas cikgu boleh tengok orang dari tempat lain, tau kebudayaan dan ketamadunan orang lain.”
Si tegar dan si gampang yang ramai itu mula berfikir, entah apa yang dijana di benak mereka. Barangkali mahu mencontohi guru cabuk yang seperti aku hendaknya. Aku kembali teruja dengan hobi aku yang sekarang ini. Ku tatap paparan telefon canggih lagi berjenama. Tertulis jelas di paparannya “no network coverage”.
Aduhai susah benar nak dapat liputan dalam hulu banat ini.
Kalau di tempat hutan batu aku dulu, telefon bimbit celah kaki seluar pun masih berdering. Kadang-kadang rasa seperti terbatas kehidupan peribadi dek telefon bimbit yang terlalu kerap menyalak. Terganggu benar. Masa bersantap, masa beradu, masa lapang, masa bersendiri, sampaikan masa di dalam tandas juga bingit telefon bimbit ini mengganggu rasa dan menyentap kelapangan jiwa.

0 comments: