Monday, March 8, 2010

BUKAN NUKILAN TERULUNG

Lapan purnama jasadku memikul disini,satu kawasan yang tiada siapa pernah bayangkan. kelansungan hidup dikawasan tegar, tandus bagi nuraniku. Itulah aku, berhidup ditanah kenyalang, terkebil, terpejam dan terpaling dari hamburan kotor kotaraya.
Sekali-sekala terasa diriku bertuah sekali, menikmati indah dunia. Desiran angin kontang yang menderu panas membakar semangat untuk terus memperjuangkan ilmu kepada anak degil dan bedebah. Itulah aku, memikul seguni dua barangkali ilmu kepada yang berlagak arif seperti ayam jantan kelaku mereka. Didik mereka, tunjukkan mereka bagaimana menjadi insan mulia, indah perinya, santun budinya, bukan hanya menjadi hamba rumah panjang yang terkepuk dan terkepam akalnya.
Akulah lilin yang meleburkan diri, akulah gerbang, akulah penyuluh, akulah jua pembuka akal yang terbantut. Niat benakku hanya memberi jalan dan membuka peluang kepada mereka si tegar dan si bedebah yang ramai itu. Namun hanya sekelumit umat yang dahaga ajaran dan perhatian seorang pendidik di hulu banat pedalaman yang teramat.

Lahirku di kota batu dan bata, ibu kota cinta yang bergelumang dengan maksiat dan diselubung kehancuran umat. Tahun 1984 bertarikh 18 September pada masa itu. Dari situlah aku keluar dari dunia rahim ibuku untuk mengharung alam yang di panggil tempat persinggahan berpohon rendang. Menjadi khalifah di dunia sesat amatlah kepalang. Disebalik yang baik terselit niat jahat, di sebalik kejahatan yang hitam likat terdapat berjuta hikmah, tetapi belum tahu dimana puncanya, di permulaannya, di pertengahan atau di pengakhiran segala sesuatu.

Sesat yang tidak disedari adalah morfologi diri yang terhina. Diri disangka sempurna walaupun bergelumang dengan dosa adalah lebih hina dari si pembuat dosa besar yang mencari cahaya walaupun malap dan kabur. Kata-Nya “jika kau hendak hidup diatas tanah yang Ku jadikan ini dengan membuat dosa, nyah kau! Cari dunia lain yang bukan dari tanah dan rahmat nikmat-Ku.” Namun manusia tetap dan terus alpa.

Peri maksud nama “MANUSIA” itu sendiri adalah tempat salah dan lupa. “NASIYA” itu sendiri bermakna LUPA. Itulah penyakit yang Dia jadikan kepada sekalian umat supaya terus dibelengu dan dihantui. Syaitan yang mengalir dalam darah sejak dari zaman Nabi Adam juga sukar dikekang. Manusia lebih selesa menjadi hamba kepada nafsu serakah yang objektifnya terus menghala ke neraka paling bawah.
Namun itu semua hanyalah mukadimah, hanya permulaan ke arah sebuah kisah guru cabuk di tempat dalam yang tiada tahu puncanya. Bukanlah aku insan giat yang girang mengarang seribu satu kisah. Nukilan ini bukanlah nukilan terulung lagi berhantu. Ini hanyalah nukilan yang buat julung kalinya aku catatkan di kala ada pedoman yang hendak dilafaz tetapi tiada siapa yang sudi mengamati.

Konflik jiwa, konkusi dan autisma adalah sebati dalam benakku. Bukan aku sahaja, barangkali semua rakan sekerja, mungkin juga bos aku dan mungkin juga segala pelusuk si bedebah dan si tegar yang ramai itu. Aku adalah aku, mungkin juga aku bukanlah aku yang sebenarnya. Hati iman manusia sentiasa dinamik, bukan statik bukan sekata bukan membatu. Apatah lagi serupa sama tinggi dengan iman si malaikat atau serendah iman segala syaitan jahanam.
“Ada cikgu makan ular ka?”
“Boleh cikgu makan kelawar ka?”
“Pernah cikgu pergi K.L ka?”

Itulah persoalan-persoalan si tegar dan si bedebah itu. Asyik benar memasang cuping telinga yang lebar itu dikala aku mula menjadi pak karut moden. Anak-anak kecil memang begitu kelakunya, semangat kental terbuak-buak mendengar ceritera luar dari pedalaman mereka. Sebalikya pula apabila tiba masa menelaah, saat mengulangkaji dan bibit-bibit memerah otak beku dikala ujian. Kepayahan untuk meyakinkan si tegar dan si bedebah untuk mengekplorasi ilmu terbatas tidak meruntunkan jiwa guru muda seperti aku. Aku bukanlah terlalu berpengalaman, bukan jua terlalu sempurna untuk mengerah keringat disaat kurang dihargai, namun ku gagahi jua. Tulang mana yang tidak sengal, otot mana yang tidak bisa lemah, tekak mana yang tidak kontang, lidah mana yang tidak terkelu untuk menampi ilmu kepada si bededah dan si tegar yang berhamburan datang ke tempat ilmu hanya untuk meronggeng dengan rakan seusia.
Cabaran, cabaran dan cabaran...
Rintangan demi rintangan...

Di kala rembang matahari, haba tanah meluap-meluap, saujana pandangan di barisi fatamorgana membakar pucuk rumput yang hampir mati itu, si bedebah dan si tegar terkumat kamit mengeja sambil menulis diatas lembaran kerja di raung legar peradaban ilmu. Payah benar memahami makna dan persoalan ulangkaji. Urat tangan terasa kembang, hati panas berapi, mata panas jua memandang. Si tegar dan si bededah asyik terkebil-kebil, mulut asyik bagai menyalak, ekor seperti menggedik tergoyang-goyang. Mahu sekali aku menghayun rotan bersalut pita selofan keras, khas aku buatkan untuk membawa pemikiran si bedebah dan si tegar yang ramai itu ke cahaya terang, ke menara megah bergading emas. Panas benar saat ini. Di dalam dan di luar, diatas dan di bawah di tengah dan di hujung.

Hariku di gedung ilmu beraneka ragam, kadangnya rasa puas dan bahagia, laksana rasa nikmat yang Tuhan berikan kala membuang air kecil yang tertahan. Puasnya bukan main lagi kerana urat di dahi makin tersumbat, semua lega bila diteran semuanya. Kadangnya sesak seluruh jantung berdegup kuat dan laju ombak nadi dek kerana kencangnya darah mengalir di dalam pelusuk roma, kerana perlahan benar si bedebah dan si tegar yang ramai itu memahami segala sesuatu. Panas dan dingin silih berganti, panas hati menahan amarah yang di sampuk syaitan, dingin dahi bagai salju tatkala peluh keringat di sejat angin yang cuba menyejukkan keadaan keruh.

Aku adalah guru cabuk di pedalaman, jauh dari pandangan dan bau kota kotor. Perjalanan untuk menuju ke tempat kepalang ini sudah menceritakan segala-gala. Dari Bandar Peranginan yang sentiasa dibangga itu, aku dikerah menaiki kereta gagah berpacuan empat roda. Terkepuk dan terkepam jasad dan ilusi aku didalamnya. Lama, memang terlalu lama barangkali habis waktu pagi dan tiba dikala ubun kepala ini disambut bahang mentari diatas kepala.

Sepertiga perjalanan berliku azab itu sentiasa bertemankan jalan batu sisa-sisa lori balak yang entah halal entah haram hasilnya, kota kecil yang dilalui hanyalah mengundang tempat untuk menapak dan melepaskan apa yang badan ingin buang. Aku tatap paparan telefon bimbit canggih, memang sialan dek liputan di luar jangkauan. Jauh sudah dari jalan tar, jauh sejauh-jauhnya. Tibanya aku di pekan cowboy disambut suram oleh pandangan dan jua lirikan mata orang yang entah dari mana asalnya, entah baru keluar dari gua batu atau rumah panjang yang dipertukang dari buluh licin asli. Barangkali si bedebah dan si tegar itu keturunan mereka agaknya fikir di benakku.
“Hard...”
“Soft...”
“Apalah ‘Hard and Soft’ tu cikgu?”

Itulah persoalan dari si bedebah dan si tegar yang berempat. Compang-camping baju mereka ada yang terhambur keluar dari seluar biru navy bersalut lumpur separuh. Inilah anak-anakku yang bermastautin di tahun 1, masih belajar berteraburan untuk berusaha mengeja segenap perkataan yang baru mereka temui. Terkumat-kamit termuncung-muncung mulut mereka menyebut dan mengeja dunia tinta di kertas putih. Baru mereka ini, baru benar belajar bercakap, bergaul dengan kawan laksana anak monyet,baru belajar menceritakan dan mendefinisikan bingkisan cerita-cerita komik rapu di paparan televisyen. Apabila asyik bercerita tentang dunia autisma dan dunia bayangan mereka, lembaran kerja ku itu tidak lagi dipersoal, hanya tawa dan hilai gembira, gigi dan gusi tertonjol keluar, suara berkumandang, tawa bertempiaran memecah kesunyian suasana.

Kadagkala aku terasa indah seperti di syurga dunia, kadangkala aku terasa panas hati dan mendidih di dada yang sesak. Anak-anakku, carilah ilmu, belajarlah mengeja jika tidak tahu membaca, kenalkan dirimu dengan A, B dan C sebagai sahabat terbaik di hamparan dunia fana.
“Cikgu, cepatlah..”
“Macam mana mau buat ni cikgu?”
“Hahahahak!”

Kedengaran si bededah dan si tegar yang lagi tiga kepala itu ketawa, lantas lirikan mata dan perhatian menarik minat si tegar yang seorang. Kemudian ketawa lagi, lagi dan lagi. Payah benar untuk aku kerahkan keringat untuk bersuara. Ku biarkan mereka bersuara. Ku yakin, diam bisu tidak semestinya bermakna belajar. Diam itu konkusi, diam itu ilusi. Diam itu autisme. Biar mereka meneroka dunia kecil mereka, meneroka alam realiti yang di sangka fantasi. Belajar untuk belajar dan mengajar yang lain kelaknya.

Lantas aku panggung kepalaku, ku berdiri tegak dan sembunyikan busung kecil perutku, mungkin aku kelihatan sedikit gagah dan keperkasaanku tertonjol. Mungkin timbul sedikit rasa hormat dan kecil hati mereka menjadi sebesar hati kuman ketakutan. Aku menggila. Aku sentengkan kaki seluar, ku singkap hingga ke lututku, terkeluar bulu kakiku yang sekasar dawai. Terbahak hilai tawa anak-anakku melihat ragamku selamba.
“Apa itu ‘rough’ ha?” tanyaku kepada si tegar dan si bedebah yang berempat.
“Pegang dan rasa bulu kaki cikgu ini lekas!”
Berpakat-pakat mereka menyentuh dan merasanya. Dengan senyuman yang menampakkan gigi susu kuning yang hampir luruh mereka melontarkan suara.
“Kasar, cikgu!”
“Apa kasar tu dalam Bahasa Inggeris!?” sapa aku membuka ruang akal mereka.
“Kasar tu ‘rough’ cikgu!!!”

Aduh senangnya hati merah darah ini, darah yang mengalir rasanya seperti permata sungai yang mengalir nyaman. Itula tugas dan tanggungjawabku, ku lemparkan keegoan ku jauh-jauh. Walaupun sepatah yang mereka belajar, ku rasa sejuk sekali, hilang rasa suam-suam di kuku ini. Saat ini mereka tertawa lagi, keheningan memecahkan kembali suasana rembang lagi kontang. Namun sebaliknya bagiku, hati sejuk beku sesejuk batuan paling bawah di kutub. Aman dan damai hati diulit telatah dan tawa mereka si tegar dan si bedebah yang berempat. Senyuman terkir di bibirku sendiri, tanpa paksaan dan kepuraan. Dan masih aku tersenyum. Dan lagi. Lagi...
Kepala otakku ligat lagi, keghairahan memaksa aku untuk menyampaikan lagi. Jari jemari ku ini dialirkan impuls untuk kembali berkarya, tapi sekali lagi aku tekankan. Ini bukanlah karya yang maha ulung.

Apabila tiba hari empat, hari yang memaksa aku menyibukkan diri kepada si bedebah dan si tegar yang ku selalu sayang. Seawal pagi bangunku hanya memikirkan jasad dan roh ramai itu. Aku siramkan diri yang nyaman dengan air sungai yang di sedut kedalam tangki. Ya sekalian, air sungai keruh lagi payau, bukan seperti kalian lain yang dalam tidak sedar menikmati pemberian Tuhan. Pusing-pusing maka terbitlah sisa air bersih yang asalnya dari kumbahan najis kotor kalian sendiri.

Petang hari empat, biasa aku penuhi dengan memberi ilmu berguna percuma. Bahang dinihari bukan lagi halangan, telah ku tegarkan minda dan jasad untuk aku harung apa jua keadaan cuaca. Kemarau kontang tidak aku hirau, ribut dan hujan pula adalah nikmat bahagia dari Tuhan. Aku membuka buku digital yang berpaparan pekat hitam, lalu aku mencetak segala yang si tegar dan si bedebah perlukan. Lembaran yang entah mereka tahu apa maknanya.

Walau mentari sudah hampir di ufuk, kehangatan disini masih terngiang . Aliran peluh di belakang telinga aku menceritan segala. Kipas meja berpusing selama mungkin, jarang sekali aku hentikan buat menghembus jasad ku ini, namun hembusannya bukanlah nyaman sedingin penghawa dingin di pejabat-pejabat gah seperti kamu, putaran demi putaran hanya menyuluhkan angin berbahang lagi panas berupa azab dunia nyata.
Sudahlah, masaku sudah sampai. Aku perlu bertanggungjawab. Si tegar dan si bedebah yang lapan pula kali ini. Tahun lima mereka itu, sepenggal mereka di sini. Berlegar bagai zarah rawak. Adakah mereka mencari ilmu, atau ilmu datang kepada mereka? Bergolek-golek, disuap-suap hingga tepu, kemudian di teran buang menjadi sesuatu yang tiada lagi dalam lingkungan kepala otak mereka si tegar dan si bedebah yang lapan itu.

Petang sehening ini membawa rahmat, semua jua adalah rahmat. Tanah yang dipijak, langit yang diatas kepala, sinaran mentari berbahang jua adalah rahmat. Mungkin bagi yang lain itu adalah seksaan, mungkin melambangkan penderitaan dan kekalutan. Loceng diketuk menggunakan keringat tangan si bedebah dan si tegar. Batu separa bulat dipakai bagi menggema suasana sepelusuk alam. Tamat sudah saat-saat mengerah kepala otak, di ganti pula saat riadah yeng akan menyejukkan hati, jasad, roh, akal.
Rutin harian di teruskan lagi, belum sudah lagi, belum pun selesai separuh hariku ini. Busung yang kecil perlu di hapuskan, garam berlebihan di liang perlu di keluarkan, tubuh perlu diringankan dan tulang perlu di gerakkan. Saat ini saat yang menyihatkan aku dari lingkungan rohani dan jasmani. Masa ini adalah masa yang di nanti. Kala ini aku bukanlah lagi lilin membakar, kala ini aku hanyalah anak kecil sama seperti si bededah dan si tegar. Permainan budak kota adalah kesukaan aku, gaya Jordan adalah anganku.

Teletah aku terus bertukar, berubah dalam sekelip mata. Aku bermain, berlari, melompat, mengusik, tersenyum dan tertawa dengan girang. Barangkali untuk ku lepaskan lelah seharian menahan urat terselit lagi tersumbat. Ada satu program malam yang menjadi sebati dalam harianku. Ingin aku beritahu kepada kalian tapi sekarang aku rasa baik aku simpan dan pendamkan saja. Tempat meluahkan, tempat bergelak ketawa, tempat berkongsi seribu satu kisah, setiap detik saat yang ku lalui di pedalaman buta ini ku laporkan. Saat ini senyuman asli terukir lagi, saat mengenang dan mengingat.

Hidup ini indah, jadi aku selalu mulakan hari pagiku dengan indah. Setiap pagi memang benar-benar indah dan dingin. Kabus tebal membawa khabar kemarau panjang bakal tiba. Tapi itu tiada ertinya bagi diriku yang seorang ini. Setiap hari juga ada syurga dan neraka. Kekuatan akal sahaja yang menjamin keselesaan hati. Aku ulangi lagi, panas adalah subjektif sama jua dengan dingin yang subjektif.
Lagu ‘burung tiung’ kedengaran dari kamar sebelah, tengahari membara di sejukkan kelunakan suara nyanyian si tegar dan si bedebah. Perlahan aku mengangguk-angguk kepala dan menggedikkan lutut lemah. Alunan muzik menjemput diriku untuk bersiul bersama. Aku bahagia, segala sengara di kawasan asing membawa kebahagian juga padaku walau sedikit. Syukur ku kepada-Nya kerana aku masih dapat merasa nikmat bahagia. Walau di kejauhan dari tempat tumpah darah, aku masih dapat meluahkan rasa. Rasa menyayangi dan di sayangi.

Setiap baris dan kata yang aku taipkan ini adalah subjektif. Hakikatnya segala-gala jua adalah subjektif. Tiada yang betul dan salah dari hukum puitis ayat. Kesukaan diri untuk menulis dan mengarang tiada batasnya. Aku guna bahasa yang kasar, aku juga guna bahasa dan perkataan lembut lagi lemak. Semua itu adalah kesukaan aku. Subjektif bagi diri aku yang seorang ini. Kritikan kepada karya ini tidak akan menghentikan nadi penulis guru cabuk.

No comments: